Sunday, June 20, 2010

HUKUM D - M (Diterangkan - Menerangkan)

Hukum D-M digolongkan dalam Frasa Nama. Kerap kita mendengar orang berkata ‘goreng pisang’ untuk merujuk kepada frasa nama ‘pisang yang digoreng’. Seharusnya bentuk yang betul ialah ‘pisang goreng’ kerana kita merujuk kata nama ‘pisang’ sedangkan perkataan ‘goreng’ merujuk kata kerja ‘goreng’ dan merupakan penerang bagi perkataan ‘pisang’ dalam frasa berkenaan. Namun disebabkan kebiasaan pertuturan dan diterima, tambahan pula difahami oleh masyarakat, sesetengah kita menerimanya sebagai betul sedangkan hakikatnya dari sudut tatabahasa pembentukannya adalah salah. Hal yang sama dapat dilihat pada frasa ‘lain-lain hal’ sedangkan hakikatnya kita merujuk ‘hal’ bukannya ‘lain-lain’. Seharusnya pembetukan frasa berkenaan ialah ‘hal-hal lain’ kerana ‘hal’ tersebut yang banyak bukannya ‘lain’. Hal ini berpunca daripada kebiasaan sebutan dan ‘sedap’ bunyi sebutan yang diterima oleh penutur lisan bahasa Melayu kerana pada sesetengah keadaan sebutannya konsisten. Misalnya kita tidak akan menyebut ‘tua kelapa’ bagi merujuk ‘kelapa yang sudah tua’, sebaliknya dalam apa-apa juga keadaan kita akan menyebut ‘kelapa tua’ bagi merujuk frasa nama berkenaan.

Pembentukan Hukum D-M
Pada dasarnya, terdapat peraturan tertentu untuk mengatur susunan kedudukan konstituen-konstituen kata nama dalam pembentukan frasa nama. Peraturan-peratran tersebut menentukan perkara yang hadir dahulu dan yang perlu hadir kemudian ataupun selepas konstituen pertama. Hukum D-M tergolong dalam bahagian frasa nama. Pada dasarnya (D) merujuk aspek yang ‘Diterangkan’ manakala (M) merujuk aspek yang ‘Menerangkan’. Menurut hukum tatabahasa, sesuatu perkara yang mahu ‘diterangkan’ harus dinyatakan dahulu sebelum disusuli perkataan yang ‘menerangkan’. Misalnya apabila kita mahu merujuk pisang yang digoreng, seharusnya kita menyatakan ‘pisang’ sebagai kata nama yang mahu diterangkan barulah disusuli ‘goreng’ sebagai perkataan yang menerangkan pisang berkenaan.
Maka, seharusnya susunan frasanya menjadi ‘pisang goreng’ bukannya ‘goreng pisang’ kerana ‘goreng pisang’ merujuk ‘goreng’ sebagai perkataan yang mahu diterangkan iaitu kata kerja dan ‘pisang’ sebagai kata yang menerangkan perkataan goreng. Maka apabila disebut ‘goreng pisang’ kita seharusnya merujuk frasa kerja (perbuatan menggoreng pisang) bukannya frasa nama.

Dengan kata lain, dalam pembentukan hukum D-M, unsur yang ‘Diterangkan’ merupakan unsur inti yang diletakkan pada kedudukan pertama dan unsur yang ‘Menerangkan’ merupakan unsur penerang yang diletakkan pada kedudukan kedua. Contohnya:

Bil. Unsur Diterangkan (D) Unsur Menerangkan (M) Keterangan Frasa
1 - Kelapa - tua - buah kelapa yang sudah tua
2 - Orang - muda - orang yang masih muda
3 - Guru - sains - guru yang mengajarkan sains
4 - Serbuk - cili - serbuk yang dibuat daripada cili
5 - Sos - tomato - sos yang dibuat daripada tomato
6 - Restoran - Zaini - restoran kepunyaan Zaini
7 - Kedai Buku - Harris - kedai buku kepunyaan Harris
8 - Keledek - goreng - keledek yang telah digoreng
9 - Kacang - rebus - kacang yang sudah direbus
10 - Rendang - daging - rendang yang dibuat daripada daging.
11 - Susu - lembu - susu yang diambil daripada lembu
12 - Lembu - susu - lembu yang mengeluarkan susu

Kebanyakan kekeliruan yang timbul dikenal pasti berpunca daripada kebiasaan sebutannya dalam bahasa Inggeris yang struktur pembentukannya berbeza daripada struktur Bahasa Melayu.
Misalnya dalam bahasa Inggeris ‘Restoran Yusof’ disebut sebagai ‘Yusof Restaurant’. Hakikatnya dalam bahasa Melayu kita memperkatakan ‘Restoran’ yang dimiliki oleh Yusof, maka seharusnya kita meletakkan unsur ‘Restoran’ pada kedudukan pertama sebagai aspek yang ‘Diterangkan’ barulah diikuti oleh ‘Yusof’ sebagai unsur yang ‘Menerangkan’ iaitu yang memiliki restoran berkenaan. Frasa berkenaan seharusnya disebut sebagai ‘Restoran Yusof’. Dari sudat makna, jika disebut ‘Yusof Restoran’, maka sebenarnya kita merujuk kepada ‘Yusof’ sebagai ‘restoran’. Bukankah perkara ini ganjil kerana Yusof ialah manusia bukannya sebuah restoran.

Dalam sesetengah keadaan, terdapat frasa yang boleh disusun secara terbalik tetapi membentuk makna yang berbeza, bergantung kepada unsur yang disebut dahulu. Misalnya frasa nama ‘susu lembu’ merujuk maksud ‘susu yang diambil daripada lembu’. Manakala ‘lembu susu’ merujuk maksud ‘lembu yang dipelihara untuk tujuan mendapatkan susunya’. Maka dari segi ayat haruslah disebut mengikut maksud yang ingin disampaikan.

Contohnya;
1. Ahmad minum susu lembu pada setiap pagi.
2. Ahmad memelihara beberapa ekor lembu susu.

Ulasan:
Ayat 1 merujuk kepada susu. Manakala ayat 2 merujuk kepada lembu yang dipelihara bagi mendapatkan susunya. Maka apabila ayat 1 diubah kepada ‘lembu susu’ maka dari segi maksud, maknanya agak ganjil kerana tidak mungkin ‘Ahmad minum lembu’ sedangkan hakikatnya ‘Ahmad minum susu’. Manakala ayat 2 pula jika diubah kepada ‘susu lembu’ juga menimbulkan kekacauan maksud ayat kerana tidak mungkin ‘Ahmad memelihara susu’, sedangkan maksud yang tepat ialah “Ahmad memelihara lembu’.

Kekeliruan Hukum D-M
Dalam pembentukan frasa nama yang berkaitan dengan Hukum D-M, terdapat beberapa kekeliruan kerana kebiasaan penggunaan yang diterima pakai dalam pertuturan harian sebagai frasa yang betul. Hal ini berpunca daripada pemahaman masyarakat (masyarakat memahami frasa tersebut) terhadap frasa berkenaan, sedangkan hakikatnya dari segi hukum tatabahasa perkara ini menyalahi hukum pembentukan frasa nama.
Antara frasa nama yang kerap menimbulkan kekeliruan ialah;

Bil. Bentuk Yang Salah Bentuk Yang Betul
1. - lain-lain hal - hal-hal lain
2. - lain-lain perkara - perkara-perkara lain
3. - lain-lain masalah - masalah-masalah lain
4. - lain-lain kata - kata-kata lain
5. - warung goreng pisang - warung pisang goreng
6. - Adnin Kedai Runcit - Kedai Runcit Adnin
7. - tomato sos - sos tomato
8. - pencuci serbuk - serbuk pencuci
9. - Tan Klinik Gigi - Klinik Gigi Tan
10. - petrolium gas - gas petrolium

• Semua bentuk di atas bertentangan dengan pembentukan hukum D-M dari segi maksud frasa berkenaan kerana unsur utama (‘Diterangkan’) terletak di belakang unsur yang ‘Menerangkan’. Semua bentuk di atas merupakan terjemahan terus mengikut struktur bahasa Inggeris.

Penggunaan Kata Pemeri dan Kata Nafi

Penggunaan kata pemeri dalam Bahasa Melayu yang berfungsi sebagai pemeri hal atau perangkai antara subjek ayat dengan frasa utama dalam predikat bukanlah sesuatu yang wajib sebagaimana penggunaan ‘is’, ‘are’ ataupun ‘a’ dalam struktur Bahasa Inggeris.
Penggunaannya agak terbatas dan kurang digalakkan dalam pembentukan ayat-ayat Bahasa Melayu. Namun demikian terdapat kecenderungan penggunaannya dalam pembentukan ayat-ayat yang salah ataupun tidak gramatis khususnya apabila digunakan pada awal ayat di hadapan frasa kerja ataupun kata kerja.

Kesalahan Contoh:
1. Adalah diberitahu bahawa mesyuarat PIBG tersebut akan ditangguhkan ke minggu depan.
2. Adalah dengan ini diisytiharkan bahawa anak bulan Syawal tidak kelihatan.
3. Tingkah lakunya yang sombong itu adalah menyebabkan orang ramai benci kepadanya.

Ayat-ayat di atas seharusnya menggugurkan kata pemeri ‘adalah’ bagi membentuk ayat-ayat yang betul dan gramatis.

Terdapat dua kata pemeri yang digunakan sebagai pemeri hal dalam Bahasa Melayu iaitu ‘ialah’ dan ‘adalah’.

i) Penggunaan Kata Pemeri ‘Ialah’
Kata pemeri ini digunakan di hadapan frasa nama ataupun kata nama untuk menunjukkan pertalian antara subjek dan predikat ayat ataupun dengan kata lain untuk memerihalkan subjek ayat.

Ayat Contoh:
1. Yang turut hadir dalam majlis hari jadinya ialah beberapa orang guru.
2. Antara sebab utama pelajar melepak ialah pengaruh daripada rakan-rakan sebaya.
3. Perkara yang paling penting sekarang ialah pemulihan ekonomi negara.

Kesalahan Penggunaan Kata Pemeri ‘Ialah’

Kesalahan yang biasa dilakukan semasa penggunaan kata pemeri ‘ialah’ merupakan penggabungannya dengan kata nafi ‘bukan’ dan ‘tidak’.
Kesalahan Contoh:
1. Mereka ialah bukan pelajar sekolah tersebut.
2. Pelajar-pelajar itu didenda kerana ialah tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut.
Ayat sepatutnya:
1. Mereka bukan pelajar sekolah tersebut.
2. Pelajar-pelajar itu didenda kerana tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut.

Satu lagi kesalahan penggunaan ‘ialah’ berlaku apabila digabungkan dengan kata kerja ataupun kata adjektif. Sepatutnya ‘ialah’ digunakan bersama-sama dengan kata nama sahaja.
Kesalahan Contoh:
3. Mereka ialah memberitahu kami tentang kejadian tersebut.
4. Orang tua itu ialah terjatuh ke dalam longkang ketika menunggang basikal.
Ayat sepatutnya:
3. Mereka yang memberitahu kami tentang kejadian itu.
4. Orang tua itu terjatuh ke dalam longkang ketika menunggang basikal.

Ulasan:
Dalam keempat-empat contoh kesalahan di atas, disebabkan penggunaan kata pemeri yang tidak perlu, maka kata pemeri yang digunakan perlu digugurkan.
ii) Penggunaan Kata Pemeri ‘Adalah’

Kata pemeri ‘adalah’ boleh digunakan secara lebih meluas berbanding kata pemeri ‘ialah’. Kata pemeri ini dapat digunakan di hadapan kata adjektif, frasa sendi nama dan dapat hadir bersama binaan kata nafi ‘tidak’ yang digabungkan dengan kata adjektif (adalah + kata nafi ‘tidak’ + adjektif).
Ayat Contoh:
1. Tawaran biasiswa tersebut adalah khusus untuk pelajar Bumiputera sahaja.
2. Kenyataan yang diberikannya adalah tidak benar.
3. Buku-buku itu adalah hasil daripada pengalamannya semasa menjadi tentera.
4. Tindakannya ketika menyelesaikan masalah itu adalah tidak wajar.
Kesalahan ayat:

Kata pemeri ‘adalah’ tidak boleh digunakan bersama kata nafi ‘bukan’ dan dalam binaan frasa kerja.
Kesalahan Contoh;
1. Buku-buku itu adalah bukan untuk kamu.
2. Kegagalannya adalah disebabkan oleh kemalasannya mengulang kaji pelajaran.
3. Adalah dimaklumkan bahawa ujian Bahasa Melayu akan diadakan pada hari esok.
4. Tuan-tuan adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong itu akan dibatalkan.

Ayat sepatutnya;
1. Buku-buku itu bukan untuk kamu.
2. Kegagalannya disebabkan oleh kemalasannya mengulang kaji pelajaran.
3. Dengan ini dimaklumkan bahawa ujian Bahasa Melayu akan diadakan pada hari esok.
4. Tuan-tuan dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong itu akan dibatalkan.

Ulasan:
Penggunaan kata pemeri dalam contoh kesalahan ayat di atas tidak perlu dan mesti digugurkan. Secara ringkasnya, penggunaan kata pemeri bukanlah sesuatu yang amat perlu dalam ayat-ayat Bahasa Melayu sebagaimana struktur ayat Bahasa Inggeris. Penggugurannya dalam ayat-ayat tertentu tidak menjejaskan makna ayat.
iii) Penggunaan Kata Nafi ‘Bukan’ dan ‘Tidak’
Secara umum terdapat dua perkataan kata nafi dalam Bahasa Melayu iaitu ‘bukan’ dan ‘tidak’

Kata nafi ‘bukan’ digunakan dalam binaan Frasa Nama dan Frasa Sendi Nama.
Ayat Contoh:
1. Itu bukan sekolah saya. (Frasa nama)
2. Orang tua itu bukan bapa saya. (Frasa nama)
3. Hadiah itu bukan untuk kami. (Frasa sendi nama)
4. Dia bukan orang kampung kami. (Frasa nama)

Kata nafi ‘tidak’ pula digunakan dalam binaan Frasa Kerja dan Frasa Adjektif.
Ayat Contoh:
1. Bapa saya tidak tidur semalaman kerana menunggu kepulangan kakak. (Frasa kerja)
2. Kami tidak menjemputnya hadir dalam majlis itu. (Frasa kerja)
3. Pemergiannya ke kota tidak direstui oleh ibunya yang sudah tua. (Frasa kerja)
4. Dia merasakan bahawa pembahagian harta pusaka bapanya tidak adil. (Frasa adjektif)

Kesalahan umum yang kerap dilakukan dalam binaan kata nafi ialah penggunaannya pada frasa yang tidak tepat. Dengan kata-kata lain disalahgunakan pada frasa yang tidak seharusnya digunakan kata nafi berkenaan.
Kesalahan Contoh;
1. Buku ini tidak untuk pelajar tingkatan tiga.
2. Orang tua itu tidak dari kampung kami.
3. Wang yang diperolehnya tidak daripada rezeki yang halal.
4. Dia marah kerana anaknya bukan mendengar nasihat yang diberikannya.
5. Tindakannya bukan wajar semasa menangani masalah itu.

Ayat sepatutnya;
1. Buku itu bukan untuk pelajar tingkatan tiga.
2. Orang tua itu bukan dari kampung kami.
3. Wang yang diperolehnya bukan daripada rezeki yang halal.
4. Dia marah kerana anaknya tidak mendengar nasihat yang diberikannya.
5. Tindakannya tidak wajar semasa menangani masalah itu.

Ulasan:
Kata nafi ‘bukan’ boleh digunakan pada frasa kerja dan frasa adjektif jika menunjukkan maksud bertentangan, namun harus digunakan bersama kata hubung ‘tetapi’.
Ayat Contoh:
1. Dia bukan hendak belajar tetapi hendak bermain-main sahaja.
2. Mereka bukan hendak memukul kamu tetapi hendak membantu kamu.
3. Kata-katanya bukan membawa kebaikan tetapi hanya membawa keburukan.
4. Dia bukan sahaja malas tetapi nakal juga.

Saturday, June 19, 2010

PEMBENTUKAN IMBUHAN MeN...kan dan MeN...i

Pembentukan imbuhan kerap kali mengelirukan pelajar. Dalam penggunaan imbuhan MeN...kan dan MeN...i, pelajar sering kali membuat kesilapan dengan menggunakan imbuhan tersebut secara bertukar ganti seolah-solah kedua-dua imbuhan tersebut membawa maksud yang sama. Dalam bab ini, kita akan melihat dan meneliti secara lebih mendalam pembentukan dan perbezaan imbuhan MeN...kan dan MeN...i dalam Bahasa Melayu yang kerap menimbulkan kekeliruan kepada pelajar.

Pembentukan Imbuhan MeN...kan

Imbuhan MeN...kan membentuk kata kerja transitif yang terbit daripada kata dasar yang terdiri daripada beberapa jenis golongan kelas kata. Penggunaan golongan kata tertentu akan menunjukkan makna yang tertentu apabila menerima imbuhan MeN...kan.

Pembentukannya akan dibincangkan secara ringkas kerana yang penting ialah meneliti perbezaan maknanya dengan imbuhan MeN...i. Teliti beberapa jenis golongan kata berikut yang menunjukkan beberapa maksud yang berbeza:

Kata Dasar Imbuhan MeN...kan Maksud

Buku (kata nama) Membukukan Menjadikan buku
Darat (kata nama) Mendaratkan Membawa ke darat
Gemuk (kata adjektif) Menggemukkan Menjadikan gemuk
Jatuh (kata kerja) Menjatuhkan Menyebabkan jatuh
Beli (kata kerja) Membelikan Membeli untuk
Tindih (kata kerja) Menindihkan Menggunakan alat
Pagar (kata kerja) Memagarkan Menjadikan sebagai
Dua (kata bilangan) Menduakan Menjadikan dua

Untuk memahami lebih jelas lagi maksud yang terbentuk daripada kelas kata tersebut lihat beberapa contoh ayat berikut:

Ayat Contoh;
1. Pemain pertahanan pasukan itu telah menjatuhkan penyerang pasukan lawan dalam kawasan penalti.
2. Lelaki itu telah menduakan isterinya dengan berkahwin lagi.
3. Dia telah membukukan pengalamannya semasa zaman pemerintahan Jepun.
4. Mereka telah membasahkan kepala masing-masing dengan air sungai itu.
5. Ahmad melontarkan basikal adiknya ke dalam kolam.

Analisis

Semua ayat yang menerima imbuhan MeN...kan menunjukkan maksud bahawa objek tepatnya (kata nama selepas kata kerja) kena secara langsung oleh perbuatan iaitu kena ‘jatuhkan’, kena ‘duakan’, kena ‘bukukan’ kena ‘basahkan’ dan kena ‘lontarkan’.

Maksud Dalam Imbuhan MeN...kan
Secara umum, imbuhan apitan MeN...kan menunjukkan dua maksud yang kerap dikelirukan.

i) Maksud sesuatu perbuatan itu dilakukan secara langsung kena ke atas objek tepat dalam ayat dan menjadi alat atau bahan untuk melakukan perbuatan ke atas objek sipi
Contoh:
Amin melontarkan sepotong kayu ke arah lembu itu.
(objek tepat) (objek sipi)

Dalam konteks ayat di atas Amin menggunakan ‘sepotong kayu’ (objek tepat) untuk melakukan perbuatan ke atas ‘lembu itu’ (objek sipi).

Teliti contoh ayat berikut yang sama maksud pembentukannya dengan ayat di atas.

Ayat contoh;
1. Petani itu memagarkan kawat berduri ke seluruh ladangnya.
2. Orang tua itu memukulkan sebatang tongkat ke atas anaknya.
3. Dia menghadiahkan rantai mutiara kepada isterinya.
4. Kanak-kanak itu membalingkan bola kepada rakannya.
5. Sultan Selangor telah berkenan mengurniakan bintang kebesaran kepada ahli sukan tersebut sempena Hari Keputeraan baginda.

ii) Maksud sesuatu perbuatan dilakukan ‘untuk’ objek tepat
Hal ini bermaksud sesuatu perbuatan itu dilakukan untuk orang lain iaitu pelaku melakukan perbuatan untuk objek tepat manakala objek sipi merupakan sesuatu yang dilakukan perbuatan ke atasnya.

Contoh:
Amin membacakan adiknya buku cerita itu.
(objek tepat) (objek sipi)

Dalam konteks ayat di atas bermaksud Amin membaca buku untuk adiknya bukan untuk dirinya, manakala buku iaitu objek sipi merupakan alat yang dibaca dan adiknya sebagai objek tepat merupakan penerima perbuatan Amin.

Jika buku cerita mahu dijadikan objek tepat, maka akhiran ‘kan’ mesti digugurkan seperti dalam ayat berikut:

Contoh:
Amin membaca buku cerita itu untuk adiknya.
(objek tepat) (objek sipi)

Untuk lebih jelas, teliti ayat-ayat berikut:
Ayat contoh;
1. Ibu menjahitkan kakak sehelai baju kurung sutera.
(maksud menjahit untuk kakak)

2. Rahim mencarikan isterinya buah mempelam muda
(maksud mencari buah mempelam muda untuk isterinya)

3. Dia melukiskan adiknya sekeping gambar helang.
(maksud melukis gambar helang untuk adik)

Ringkasnya imbuhan MeN...kan menunjukkan maksud objek tepat sebagai alat atau bahan untuk melakukan perbuatan ke atas sesuatu. Selain itu, juga membawa maksud sesuatu perbuatan itu dilakukan untuk benda lain iaitu ‘untuk objek tepat’, manakala perbuatannya dilakukan ke atas ‘objek sipi.

Pembentukan Imbuhan MeN...i.
Imbuhan MeN...i juga terbentuk daripada beberapa kelas kata dasar dan membawa makna yang tertentu. Teliti pembentukannya secara ringkas dan cuba buat perbandingan dengan pembentukan imbuhan MeN...kan.

Kata Dasar Imbuhan MeN...i Maksud

Pagar Memagari Meletakkan sesuatu
(kata Nama) sebagai pagar

Pukul Memukuli Melakukan perbuatan
(kata kerja) berkali-kali pada objek

Duduk Menduduki Melakukan perbuatan
(kata kerja) pada objek

Kirim Mengirimi Menyebabkan objek
(kata kerja) menerima sesuatu

Untuk memahami lebih jelas lagi maksud yang terbentuk daripada kelas kata tersebut lihat beberapa contoh ayat berikut:
Ayat contoh;
1. Dia akan mengirimi bapanya sepucuk surat pada setiap bulan.
2. Jepun telah menduduki Tanah Melayu selama lebih kurang empat tahun.
3. Dia memukuli lembu yang memasuki kebunnya dengan sebatang kayu.

Analisis

Dalam ketiga-tiga ayat di atas, semua objek kena secara tidak langsung. Objek-objek tersebut menerima sesuatu daripada perbuatan yang dilakukan oleh pelaku. Contohnya dalam ayat (1) ‘bapa’ sebagai objek tepat menerima surat bukannya benda yang dikirimkan kepada seseorang.

Maksud Imbuhan MeN...i

Secara umum, imbuhan apitan MeN...i, menunjukkan maksud objek tepat menerima sesuatu daripada pelaku perbuatan, manakala benda yang diterima daripada perbuatan itu dinyatakan sebagai objek sipi.
Maksud ayat juga menunjukkan bahawa objek tepat tidak bergerak tetapi objek sipi yang bergerak menuju ke arah objek tepat. Lihat dan teliti contoh ayat-ayat di bawah;

Ayat contoh;
1. Petani itu memagari ladangnya dengan kawat berduri.
2. Orang tua itu memukuli anaknya dengan sebatang tongkat.
3. Dia menghadiahi isterinya seutas rantai mutiara.
4. Kanak-kanak membalingi rakannya dengan sebiji bola.
5. Sultan Selangor telah berkenan mengurniai ahli sukan itu bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan baginda.

Bandingkan ketiga-tiga ayat yang menerima apitan MeN...i dengan ayat-ayat yang menerima apitan MeN...kan seperti yang dibincangkan terdahulu.
Adakalanya apitan MeN...i menunjukkan maksud perbuatan yang berulang-ulang dilakukan ke atas objek tepat. Teliti ayat (2) yang menunjukkan maksud anaknya menerima pukulan berulang kali. Dalam konteks ayat (1), (3), (4) dan (5) ladangnya menerima kawat berduri, isterinya menerima rantai mutiara, rakannya menerima balingan dan ahli sukan menerima kurniaan.

Perbezaan Makna Dalam Imbuhan MeN...kan dan

Imbuhan MeN...i
Sekiranya pelajar meneliti pembentukan kedua-dua imbuhan tersebut, pelajar akan mendapati terdapat perbezaan yang ketara di antara kedua-dua imbuhan itu.
Perbezaan yang paling ketara ialah apabila kedua-dua imbuhan apitan ini menggunakan kata dasar yang sama dan menerima dua objek iaitu objek tepat dan objek sipi. Lihat contoh ayat berikut untuk pemahaman yang lebih jelas.
Ayat contoh;
1. Amin melontarkan sepotong kayu ke arah lembu itu.
(objek tepat) (objek sipi)
2. Amin melontari lembu itu dengan sepotong kayu.
(objek tepat) (objek sipi)
3. Amin membacakan adiknya buku cerita itu.
(objek tepat) (objek sipi)
4. Amin membaca buku cerita itu untuk adiknya.
(objek tepat) (objek sipi)

Ulasan ringkas:
Ayat (1) dan (2) menggunakan kata dasar yang sama iaitu lontar (kata kerja) tetapi menggunakan apitan yang berbeza. Oleh itu pembentukan objek dan maknanya juga berbeza. Perkataan ‘melontarkan’ menunjukkan maksud ‘sepotong kayu’ sebagai objek tepat menjadi alat atau bahan yang digunakan untuk melakukan perbuatan. Manakala perkataan ‘melontari’ menunjukkan maksud ‘lembu itu’ sebagai objek, menjadi penerima perbuatan ‘melontari’. Oleh itu jika ayat (1) menerima apitan MeN...kan, maksudnya menunjukkan lembu itu menjadi alat atau bahan untuk perbuatan melontar, ini pasti mustahil kerana tidak mungkin Amin mampu mengangkat lembu itu dan melontarkannya.
Rumusan

Kekeliruan yang kerap berlaku di kalangan pelajar dari segi pembentukan kedua-dua apitan tersebut disebabkan para pelajar kurang memahami maksud perkataan yang digunakan dan kekeliruan membezakan objek tepat dan objek sipi. Oleh itu, para pelajar perlu meneliti imbuhan apitan MeN...kan dan MeN...i dengan meneliti kesesuaian maksud ayat dengan penggunaan objek tepat dan objek sipi yang dinyatakan dalam ayat.
Para pelajar juga perlu meneliti logik ayat dari segi maksud sama ada sesuai atau tidak.